Assalamualaikum dan salam ‘to pup’ iman. Kehadapan keluargaku, sahabat-sahabatku dan para pembaca yang dikasihi, semoga kalian sentiasa berada dalam keadaan sihat dengan izinNya.
Alhamdulillah syukur nikmat kepada Allah kerana Allah masih lagi memberi nyawa kepada kita untuk kita menghirup udara yang segar dan mencari ‘ma’rifatullah’(mengenal Allah).
Hari ini sudah masuk seminggu diri ini batuk tidak henti dan demam di perantauan. Tiga hari tidak dapat hadir ke kuliah dan program-program diwaktu cuti. Tapi Alhamdulillah Allah masih memberi kekuatan kepadaku untuk menulis. Mula terfikir, bila sihat dimanakah nikmat yang kita gunakan? Allah…
Anda pernah sakit? Jika ya beruntunglah, dan bersyukurlah. Jangan sesekali kita merasa keluh di atas sakit kita, ingatlah ada sesuatu yang terbaik dariNYA mengapa dia memberikan kita sakit. Allah sangat kasih kepada hambaNYA. Sakit itu kaffarah dosa yang lalu, Allah mahu tegur kita. sakit itu juga Allah mahu kita rehat. Dan sakit itu juga Allah mahu kita sentiasa ingat dan sebut namaNYA.
“Dan segala nikmat yang ada padamu datangnya dari Allah, kemudian apabila kamu ditimpa kesengsaraan, maka kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan.” (AnNahl: 53)
Perasankah kalian dengan sakit ini Allah telah memberi kekuatan luar biasa buat kita. Walaupun kita tidak lalu untuk makan, kita tidak mampu bangun seperti biasa, namun Kita mampu istiqamah setiap hari untuk bangun di tengah malam, kita masih lagi mampu untuk menunaikan solat lima waktu, kita sebenarnya mampu untuk menyebut namaNYA, Allah, Allah, Allah.
Pabila Allah memberi nikmat sihat kepada kita, adakah kita sentiasa sebut namaNYA? Adakah kita sempat untuk solat tahajjud? Adakah kita gunakan nikmat sihat kita ke arah kebaikan? Adakah kita membantu orang-orang yang ditimpa musibah? Adakah kita sedar bahawa Negara umat islam sekarang ini, Syiria yang banyak telah syahid dan terbunuh? di sembelih, ditembak, Allahu Akbar..
Sangat –sangat sedikit untuk kita mengingatiNya bila waktu kita sihat, lebih ramai yang gunakan waktu untuk bersuka ria, leka dan lalai di dunia, na’uzubillah. Semoga kita sentiasa dipelihara Allah dan tergolong dalam orang-orang yang sentiasa mengingatiNYA.
Doa itu tiang agama, berdoalah kita memohon kepada Allah yang Esa semoga usia kita diberkati Allah, walaupun singkat hidup kita di dunia namun kita telah membuat sesuatu yang besar ganjarannya disisi Allah. Berdoalah moga diberi kesihatan yang baik semoga kita mudah untuk bekerja dan membantu untuk islam agama kita. Bersabarlah kita di atas ujian yang Allah beri.
Katakanlah (Muhammad),“wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhanmu.” Bagi orang –orang yang berbuat baik di dunia ini akan memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu luas. Hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas. (Az Zumar:10)
Segala isian ini adalah ingatan buat diriku juga. Guna dan ingatlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara, gunakanlah nikmat sihat kita sebelum datangnya waktu sakit kita. Doakan saya sahabat-sahabat semoga saya diberi kesembuhan dan dapat meneruskan pengajian di bumi syam ini dengan sebaiknya. Semoga Allah berkati kita semua. Amin.
Wallahu’alam.
0 comments:
Post a Comment