Aku bukanlah ingin mengarang sebuah cerpen yang
indah jauh lagi untuk mengarang sebuah novel. Namun, apa yang ingin diselitkan
dalam cerita ini adalah pengalaman. Pengalaman yang membawa pengajaran bagi
hambaNya yang sentiasa berfikir.
Dengan nama Allah yang Maha Mengasihani lagi Maha
Penyayang. Assalamualaikum sahabat-sahabatku yang dikasihi, semoga kita
sentiasa beroleh berkat dan keredhaan dariNya. Sebuah kisah yang datang dari
naluri hamba yang lemah disisi Allah juga pengalaman diri ini yang datang
melalui sebuah mimpi sebagai peringatan untuk hambaNya yang sering leka dan
lalai. Astaghfirullah hal’azim.
Tatkala diri ini sangat keletihan membuat kerja
disiang hari, sebagai seorang mahasiswa dan juga pekerja part time sudah
tentu badan ingin memerlukan rehat yang secukupnya. ‘Akal yang sihat bermula
dari badan yang sihat’. Kisah ini bermula sewaktu diriku pulang dari program.
Entah mengapa diri ini begitu letih tidak seperti sebelum-sebelum ini yang
masih dapat bertahan walaupun aku mempunyai tanggungjawab yang banyak.
Setelah selesai solat zohor aku terus terlelap di
atas sejadah bersama telekung yang masih belum kutanggalkan, tangan ini tidak
mampu berbuat apa-apa setelah mata sudah mulai pejam. Aku langsung tidak sedar
sehigga asar, seolah-olah seperti pengsan. Menurut sahabat serumahku dia telah
mengejutku untuk menunaikan solat asar. Namun sedikit pun tidak aku menunjukkan
reaksi bahawa aku telah tersedar sehingga hampirnya waktu maghrib.
Bermulanya kisahku di alam mimpi, ketika itu aku
sungguh bahagia bersama-sama sahabatku, bergelak tawa bersama, kami bersembang
bersama. Disebalik sebuah rumah yang usang itu terdapat sebuah bilik yang mana sahabat-sahabatku dan aku berada di situ.
sahabat-sahabatku yang bagiku mereka sentiasa mengingati Allah. Aku sempat
bersolat zohor berjemaah bersama-sama dengan mereka. Setelah puas bersembang
kami mahu keluar kerana asar sudah pun tiba waktunya, salah seorang dari sahabatku
mengajak untuk menunaikan solat asar di luar dan mereka ingin keluar dari bilik
tersebut termasuklah aku.
Aneh! Aku memandang di luar bilik, melihat di luar,
sungguh kehairanan ruang ditengah seperti rumah yang tidak siap, terdapat lebih
tiga batang kayu panjang yang besar di bahagian atas dan di lantai, batu bata yg
bersepah, air yang lecak. Aku mula berfikir, bagaimana tadi aku dapat masuk ke
bilik bertemu dengan sahabat-sahabatku dengan keadaan ruang yang kemas?
Seorang demi seorang sahabatku keluar dengan
senyuman, aku pelik melihat mereka, dengan mudahnya mereka melalui jalan
tersebut dengan mengangkat sendiri kayu yang besar dibantu oleh seseorang yang
aku tidak kenali. Tetapi malangnya aku, aku cuba untuk mengelak dari kayu-kayu
tersebut, tetapi tidak boleh, orang itu sudah tiada. Ya Allah.. aku cuba untuk
melalui tempat-tempat yang lain, tetapi tidak lepas, sahabat dibelakangku
melihatku dan hanya diam dan tunduk terus berlalu pergi dengan mudahnya. Tetapi
kenapa aku tidak boleh, setiap kali aku cuba hendak keluar ada sahaja halangan.
Aku mula rasa sebak dan ingin menangis, aku tidak dapat keluar dari rumah tersebut
dan mengikut mereka. Adakah mereka ingin meninggalkanku keseorangan di sini?
Aku mulai rasa takut dan tidak tentu arah.
Aku hanya dapat melihat mereka solat berjemaah dari
jauh, hatiku menangis dan terasa sesuatu, kenapa aku yang tidak dapat lepas, apa
salahku? Allah.. tiba-tiba, salah seorang dari sahabatku memanggil-manggil
namaku berulang kali, akhirnya senyuman
mula mengukir dibibirku, aku mula menyahut panggilannya dan…… terus mataku
terbuka dan terbangun dengan keadaan tersentak!
ALLAH! Aku bermimpi, rupa-rupanya sahabatku yang
sedang memanggil-manggil namaku mengejutku dan memberitahu bahawa maghrib
hampir tiba, astaghfirullahal’azim, aku terus bangun mengambil wudu’ dan terus
menunaikan solat asar. Patutlah aku tidak dapat solat bersama mereka, kerana
aku belum solat asar.
Alhamdulillah, aku punyai kawan yang sentiasa
mengingatkanku, aku bersyukur kerana disebalik setiap kejadian ada hikmahnya. Mimpi
itu sehingga saat ini masih dalam ingatan untuk aku sentiasa beringat SOLAT itu
TIANG AGAMA…
Wallahu’alam.